monolong secebis hati

Merenungi alam yang terbentang, aku mengakui kerdilnya diri menumpang di Bumi yang kian usang. Dedaunan hijau menyegarkan saujana mata ini. Biarpun aku terpaksa menggunakan bantuan kanta astig ini, namun aku tidak merasakan terbeban. Malah aku bersyukur kerana dengan ini aku dianugerahkan ilmu tentang kejadian deria terpenting ini. Biarlah. Ia mungkin satu balasan kepadaku akibat tidak menjaga pandanganku pada sang Adam di luar sana.

Segarnya bayu yang berpuput menerjah ruang paruku. Oh tuhan. Berkatilah oksigen ini, redhai ia untuk menyihatkan tubuhku, izinkan ia menjaga kebajikan diriku. Aku yang lemah tanpa-Mu, hanya mengharap nikmat-Mu dalam menyusuri hidup ini.

Sungguh, tidak ku nafikan ketenangan suasana hijau yang terbentang ini dapat meredakan gelodak rasa di jiwa. Ah! Memikirkan dua insan itu sungguh menjadikan aku tidak keruan. Yang seorang itu pilihan hati, yang seorang lagi mengharap cintaku yang belum pasti. Dua Adam yang terakhir, biarlah hanya mereka yang terakhir bagiku. Kerana aku sudah tidak mampu untuk mentafsir rasa.

Bersama Ahmad telah ku gariskan cahaya yang ingin ku terangi alam kami kelak. Bersama Ahmad aku gantungkan harapan untuk dia membimbingku agar dapat ku menemaninya di syurga. Bersama Ahmad aku benar-benar selesa. Terasa diri seperti Hawa yang senantiasa patuh pada sang Adam.

Muhammad, bukanlah niat ku untuk melukakan. Namun tiada sudah ruang bagimu, kerana hanya Ahmad yang ku inginkan. Menelan segala budi yang ditaburkan ayahandamu, segala hormat yang diberikan sesama orang tua. Aku benar-benar tersepit. Kehadiran Ahmad yang masih rahsia, diselitkan pula kehendak orang tua ku yang belum pasti,  aku bagaikan hilang arah untuk memilih. Tidak ku mahu ada seorang pun yang terluka, namun aku tahu salah seorang dari kalian harus mengundurkan diri. Ahmad, aku tidak rela andai insan itu adalah kamu!!

Mudahnya orang lain membina mahligai. Kenapa aku tidak sebegitu? Untuk mempersoalkan ini, aku tidak mahu terpesong. Aku mahu menerima takdirku yang telah ditentukan. Dengan ini, aku cuma menunggu dan terus menunggu mama dan abah berbicara. Sampai saat ini, mereka masih bisu tidak memberi kata yang dapat ku pegang. Teman-teman pula sudah ramai yang dirisik dan berumahtangga. Aku? Mungkin masih belum tiba waktunya. Atau mama abah terlalu sayang melepaskan aku kepada orang lain. Mungkin juga mama abah membutuhkan orang yang mendampingi, teman ketawa pengubat duka.

Mama abah, percayalah. Aku akan menurut apa sahaja yang kalian putuskan. Biarpun terpaksa ku hamburkan airmata pedih kehilangan Ahmad, akan ku turut demi kehendakmu. Kerana aku ingin redha Allah yang datangnya dari redha mama abah.

Muhammad, biarpun kau tidak mendengar, tetap ingin aku berbicara. Jangan sesekali kau doa bahagia di atas airmata Ahmad. Biarkan itu terjadi kerana mama abah. Sewenangnya tidak akan ku lepaskan Ahmad hanya keranamu Muhammad. Kerana hati dan cinta aku hanya untuk Ahmad.

Ahmad, aku takut untuk berjanji. Namun aku tahu kau percaya, bahawa hati dan cinta ini hanya untukmu.  

 

(huh..bajet nk wat cerpen, tapi ni cerpen ke?) 

0 comments: